Gas metana dari medan AKW Marudi berpotensi jadi produk bernilai tinggi

MARUDI: Gas metana yang ditemui di medan Adong Kechil West (AKW) di Marudi berpotensi untuk diproses menjadi ammonia dan metanol.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata gas metana itu bukan lagi sekadar dieksport sebagai bahan mentah, sebaliknya boleh diproses menjadi produk bernilai tinggi terbabit.

“Ammonia yang dihasilkan turut mempunyai potensi dalam industri hiliran termasuk pengeluaran baja, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu berasaskan teknologi dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan perlumbaan perahu Regata Baram 2026 di Tebingan Sungai Marudi, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, kejayaan bersejarah Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) mengeluarkan minyak pertama di medan AKW Marudi bukti jelas bahawa anak tempatan mempunyai kepakaran mengurus sektor bernilai tinggi berkenaan.

Katanya, ini juga menyangkal keraguan sesetengah pihak sebelum ini yang mempersoalkan penubuhan PETROS dan kemampuan rakyat Sarawak sendiri memimpin industri minyak dan gas.

Sementara itu Regata Baram 2026 menyaksikan pasukan Laking Belaga berjaya meraih tempat pertama sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM15,000 beserta piala dan pingat.

Manakala, tempat kedua pula dimenangi oleh Singgah Tagal yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM8,000 beserta piala dan pingat diikuti tempat ketiga yang dimenangi oleh Taming Sari N76 yang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM6,000 beserta piala dan pingat.

Hadir sama, anak Premier Sarawak Dayang Norjihan, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen Dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU Dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus, ADUN Telang Usan Dato Dennis Ngau, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau, Residen Bahagian Miri Galong Luang.