Hari Sarawak pupuk semangat patriotisme anak muda

KUCHING: Generasi muda perlu menghayati sejarah perjuangan pemimpin terdahulu sebagai asas untuk mempertahankan kemajuan dan kemakmuran yang dinikmati hari ini.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, sambutan Hari Sarawak yang diraikan setiap 22 Julai bukan sekadar memperingati tarikh bersejarah, malah menjadi wadah menyemai semangat patriotisme serta menghargai permulaan pemerintahan sendiri.

“Ia membuka lembaran baharu kepada pembangunan negeri.

“Rakyat kini perlu memahami bahawa kemajuan pesat yang dicapai Sarawak merupakan hasil pengorbanan, kepimpinan dan perancangan strategik pemimpin terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Semarak Kemerdekaan di Dewan Serbaguna Kampung Kolong 2, di sini, hari ini.

Menurut Fazzrudin, perubahan yang dinikmati hari ini seperti pembangunan infrastruktur, jaringan telekomunikasi yang semakin meluas, bekalan air dan elektrik yang lebih baik.

Selain itu, peluang pendidikan serta pelbagai bantuan kepada rakyat adalah hasil usaha berterusan kepimpinan negeri.

“Oleh itu, kita perlu menghargai sejarah ini dan memastikan legasi pembangunan yang telah dibina terus diperkukuhkan,” katanya.