KUCHING: Biznetwork Fiesta Sarawak Edisi Kedua menyasarkan jualan RM1 juta dengan menghimpunkan 32 usahawan bimbingan MARA bagi memperluaskan pasaran dan jaringan perniagaan.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) merangkap ADUN P197 Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata program itu menyaksikan penyampaian pembiayaan dan geran pembangunan MARA berjumlah RM333,000 kepada empat usahawan, selain menampilkan pelbagai aktiviti pemasaran dan padanan perniagaan.
“Program ini bukan sekadar ruang menjual produk, tetapi platform usahawan mempelajari pemasaran digital.
“Ramai peserta pertama kali membuat siaran langsung di TikTok dan terus menerima maklum balas serta tempahan,” katanya ketika ditemui media pada Biznetwork Fiesta Sarawak Edisi Kedua, di sini, hari ini.
Beliau berkata, jualan pada hari pertama mencecah RM228,190 manakala jumlah keseluruhan dijangka terus meningkat sehingga tamat program.
MARA turut memperkenalkan MARA In Fashion buat pertama kali di Sarawak menerusi pertunjukan fesyen yang mengangkat warisan Borneo bersama pereka tempatan, pelatih TVET GIATMARA Mambong dan Datuk Tom Abang Saufi.
“Sarawak mempunyai ramai usahawan fesyen berbakat. Program ini membuka ruang untuk mereka menonjolkan kreativiti serta bersaing di peringkat lebih tinggi dengan sokongan teknologi termasuk AI,” katanya.
Rubiah Wang turut mengulas, MARA juga terus memperkasakan TVET bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan usahawan berdaya saing khususnya dari luar bandar.
Sejak diperkenalkan pada 2020, Biznetwork Fiesta telah menghimpunkan 1,618 usahawan dengan nilai jualan keseluruhan RM43 juta, sekali gus membuktikan keberkesanan inisiatif MARA memperkasakan usahawan Bumiputera.
