Keikhlasan teras perjuangan ahli Parti PBB

SIBU: Keikhlasan dalam perjuangan demi agama, bangsa dan Sarawak perlu menjadi pegangan setiap ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, perjuangan yang paling besar merupakan perjuangan terhadap diri dan setiap usaha yang dilakukan perlu disertai niat ikhlas dan tulus.

“Setiap perjuangan hendaklah dilakukan dengan penuh keikhlasan demi agama, bangsa dan Sarawak,” katanya semasa menyantuni Delegasi Parti PBB N.45 Repok pada Majlis Makan Malam sempena Konvensyen Khas Parti PBB di sini, malam ini.

Majlis tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan dan mengalu-alukan kehadiran delegasi yang akan menghadiri Konvensyen Khas Parti PBB Zon Tengah 2026 di Stadium Tertutup Sibu, esok.

Ahmad Johnie yang juga Ketua Cawangan N.45 Repok berkata, majlis tersebut turut menjadi medan mengeratkan silaturahim serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan delegasi Cawangan Repok sebelum menghadiri konvensyen.

Beliau turut mengucapkan selamat berkonvensyen kepada seluruh delegasi yang hadir.