PITSA bantu kerajaan perjuangkan kesejahteraan ibu tunggal

KUCHING: Persatuan Ibu Tunggal Sarawak (PITSA) kini sebuah pertubuhan yang besar kini mempunyai keahlian seramai 14,285
orang sehingga 31 Mei lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata pertubuhan itu mempunyai 56 cawangan di seluruh Sarawak.

“Ini membuktikan bahawa PITSA merupakan sebuah pertubuhan besar, aktif dan memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kebajikan serta kesejahteraan ibu tunggal di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Bengkel Kesihatan “Let’s Move La Vida” anjuran PITSA dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri (JPN) di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, semalam.

Fatimah berkata, Kerajaan Sarawak melalui
Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti komited memastikan kesejahteraan wanita, termasuk golongan ibu tunggal, terus diperkasakan.

Menurutnya, pelbagai program dilaksanakan meliputi bantuan kebajikan, pembangunan kapasiti, latihan kemahiran,keusahawanan, pemerkasaan ekonomi dan sokongan psikososial bagi membantu golongan itu.

Beliau memberi penghargaan kepada Mita Cake House atas usaha menganjurkan Kempen Charity Set sebagai sebahagian tanggungjawab sosial korporat syarikat (CSR).

“Saya difahamkan bahawa kesemua 100 Charity Set berjaya dijual, sekali gus mengumpulkan dana RM8,500,” katanya.

Hasil jualan tersebut disumbangkan kepada PITSA.