Sarawak Energy bantu Sarawak realisasikan pembangunan tenaga hijau

LUNDU: Sarawak Energy akan meneruskan inisiatif penanaman pokok dan pelbagai program kelestarian selepas tahun 2030 sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat terhadap pembangunan mampan di Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata, sejak program penanaman pokok dilancar 2021, syarikat menyasarkan untuk menanam 500,000 pokok di seluruh Sarawak menjelang 2030.

“Sehingga tahun ini sebanyak 260,000 pokok ditanam.

“Jumlah tersebut termasuk 600 pokok yang ditanam hari ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kepada 260,600 pokok,” katanya semasa ditemui media di Program Penanaman Pokok Media Sarawak Energy di Santuari Hidupan Liar Samunsam, di sini, hari ini.

Tambahnya, program ini sebahagian daripada perjalanan kelestarian Sarawak Energy dan mahu dikenali sebagai syarikat tenaga yang bukan sahaja memacu pembangunan tenaga hijau, malah menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.

“Kami beroperasi lebih 100 tahun dan berharap akan terus berkhidmat untuk 100 tahun lagi.

“Generasi kepimpinan Sarawak Energy akan memastikan komitmen terhadap kelestarian ini diteruskan,” katanya.

Selain penanaman pokok, Sarawak Energy jelasnya turut melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan mampan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs).

Katanya, syarikat kini giat membangunkan tenaga solar di samping meneruskan pembangunan tenaga hidro, selain meneroka teknologi penyimpanan tenaga bateri dan sistem pam simpanan.

“Setiap projek yang kami laksanakan mengambil kira aspek alam sekitar dan jangkaan masyarakat agar pembangunan hari ini dapat meninggalkan masa depan yang lebih lestari untuk anak cucu kita,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Konservasi SFC merangkap Timbalan Controller Hidupan Liar Sarawak, Madhan Kiplie berkata, program seperti ini membuktikan kerjasama antara kerajaan, sektor korporat, media dan komuniti penting dalam usaha memulihkan hutan serta menangani perubahan iklim.

“Sebanyak tujuh spesies pokok tempatan ditanam hari ini iaitu Engkabang, Pelajau, Bintangor, Ubah, Nyatoh Tembaga, Resak dan Dedap,” katanya.

Tambahnya, tujuh spesies pokok yang dipilih merupakan sumber makanan penting kepada hidupan liar dan mampu mempercepatkan pemulihan habitat.