CEO Agensi Aeroangkasa Sarawak bakal diketahui tahun ini

KUCHING: Agensi Aeroangkasa Sarawak dijangka melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) pertamanya sebelum penghujung tahun ini bagi mempercepatkan pelaksanaan agenda pembangunan sektor aeroangkasa negeri.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, proses pemilihan sedang berjalan selepas lembaga pengarah agensi itu dibentuk, dengan pihaknya menerima banyak permohonan bagi jawatan berkenaan.

Katanya, agensi yang ditempatkan di bawah kementeriannya itu diwujudkan bagi menyokong pembangunan industri aeroangkasa negeri, manakala Majlis Penasihat Angkasa Sarawak yang dipengerusikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berperanan menentukan hala tuju sektor tersebut.

“Kita berharap dapat melantik seorang CEO sebelum penghujung tahun ini,” katanya selepas merasmikan Program Dasar dan Peraturan Telekomunikasi Terintegrasi (CTPR) 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Katanya, agensi tersebut akan memperluaskan penggunaan teknologi seperti komunikasi satelit, pemerhatian bumi, penderiaan jauh dan aplikasi geospatial bagi meningkatkan kecekapan pengurusan bencana, pemantauan alam sekitar, pertanian serta penyampaian perkhidmatan awam di Sarawak.

Sementara itu, Julaihi menjelaskan, Sarawak kini mencapai liputan internet sebanyak 94.5 peratus di kawasan penempatan di negeri ini.

“Ini hasil usaha bersama Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan dan industri telekomunikasi.

“Liputan memberangsangkan ini merupakan pencapaian signifikan bagi sebuah negeri yang mempunyai keluasan geografi besar dan komuniti tersebar luas,” katanya.

Menurutnya, kementerian berkenaan turut beralih daripada sekadar liputan internet kepada kualiti, kebolehpercayaan dan kemampuan perkhidmatan.

“Setiap sambungan harus memberikan manfaat bermakna dalam bidang pendidikan, kesihatan, pentadbiran awam, perniagaan, pembangunan komuniti dan akses kepada perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Selain itu, katanya Kerajaan Sarawak melaksanakan program SALURAN, merangkumi pembangunan 600 menara SMART serta pelaksanaan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar MySRBN.