KUCHING: Sarawak mencatatkan satu kawasan dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 152 (setakat jam 6:00 petang) yang dikategorikan tidak sihat iaitu di Serian, hari ini.
Menurut kenyataan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak, 11 kawasan berada dalam kategori Sederhana (IPU 51-100) iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Samalaju, Lundu, Tebedu dan Lubok Antu.
“Enam kawasan lagi iaitu Kapit, Miri, ILP Miri, Limbang, Lawas dan Bario mencatatkan bacaan IPU dalam kategori Baik (Di Bawah 50),” menurut kenyataan itu.
Selain itu menurut laporan Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) bagi tempoh 1 hingga 26 Julai 2026, sebanyak 16 titik panas dikesan di Sarawak dan sejumlah 1,081 titik panas dikesan di Kalimantan, Indonesia.
Sehubungan itu, NREB mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka.
Mereka yang melakukan pembakaran terbuka boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 30(1) (a) dan Seksyen 30(2) Natural Resources and Environment Ordinance (Cap. 84 –Laws of Sarawak, Ed. 1958) yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda, tidak melebihi RM100,000 atau penjara 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Orang awam juga diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka ke Pejabat NREB berdekatan atau
Hotline NREB di 082-447488 atau 082-319500.
