Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa hasilkan resolusi pembangunan wakaf

KUALA LUMPUR: Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 mengemukakan sebanyak lima resolusi utama yang memperkukuhkan dasar, tadbir urus dan pembangunan wakaf.

Premier Sarawak yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan sebanyak tiga dari lima resolusi terbabit.

Katanya, resolusi pertama ialah mereka mengusulkan supaya institusi wakaf diberi kedudukan yang lebih tersusun melalui cadangan penubuhan Working Consultancy Group.

“Kedua, kita menggesa agar teknologi dimanfaatkan sepenuhnya melalui platform tunai yang mampu menghubungkan dana, kepakaraan, inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis perasmian penutupan Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026, di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, resolusi ketiga ialah mereka menggesa kepada usaha bersepadu untuk
memperkasa keseluruhan ekosistem wakaf.

Katanya, ini merangkumi aspek tadbir urus, pendigitalan, pembangunan modal insan, pelaburan patuh syariah, inovasi dan kerjasama strategik antara kerajaan, institusi agama, sektor korporat, akademia dan masyarakat.

Menurutnya, tiga resolusi itu membawa harapan jutaan umat bahawa wakaf mampu muncul sebagai satu kuasa baharu yang membina masyarakat, mengangkat maruah ummah dan menyumbang kepada kemajuan Malaysia serta dunia Islam.

“Besar harapan kami agar segala syor yang
dikemukakan dapat dipertimbangkan dan diperhalusi bersama oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Majlis Agama Islam Negeri,” katanya.

Di samping itu institusi wakaf,
sektor korporat dan semua pemegang taruh demi membina sebuah ekosistem wakaf yang lebih moden, mampan dan berimpak tinggi.