LIMBANG: Kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan (PBT), Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), agensi kerajaan serta sektor swasta menjadi antara kunci utama dalam mempercepatkan pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui berasaskan bahan buangan di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, teknologi yang semakin maju kini membolehkan sisa seperti plastik diproses semula untuk pelbagai kegunaan termasuk pembinaan jalan raya dan penjanaan tenaga melalui konsep waste-to-energy.
“Usaha berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar, malah menyokong hasrat Sarawak memperluaskan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebagai sumber tenaga masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Seminar Pemerkasaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Dalam Penjagaan Alam Sekitar Ke Arah Pembangunan Mampan Siri 1/2026 Daerah Limbang di Dewan St Edmund, di sini, hari ini.
Awang Tengah menjelaskan, KMKK memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga kerajaan di peringkat akar umbi.
Ini kerana katanya, golongan itu menjadi pihak pertama mengesan isu seperti pencemaran sungai, pembakaran terbuka, pembuangan sisa haram dan pencerobohan hutan sebelum disalurkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan segera.
