KUCHING: Pembukaan Hotel Voco menerusi pembangunan Wisma Elica menjadi bukti keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi ekonomi Sarawak, sekali gus meletakkan sektor hospitaliti sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi negeri ini.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama strategik antara Elica Equity Sdn. Bhd. bersama IHG Hotels & Resorts menerusi jenama Hotel Voco mencerminkan kesediaan sektor swasta untuk melabur dalam pembangunan bertaraf antarabangsa di Sarawak.
“Pembukaan Wisma Elica Equity bukan sekadar menandakan siapnya sebuah bangunan baharu tetapi melambangkan keyakinan terhadap masa depan Sarawak serta kesediaan sektor swasta untuk terus melabur.
“Ia mewujudkan peluang ekonomi baharu dan menyumbang kepada pembangunan negeri secara mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Wisma Elica Hotel Voco, di sini, hari ini.
Beliau menyifatkan pembangunan itu sebagai satu transformasi penting dalam memperkukuhkan imej Kuching sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan perniagaan.
Menurut Premier Sarawak, industri hospitaliti kini tidak lagi hanya berperanan menyediakan kemudahan penginapan sebaliknya menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi yang mampu menarik pelabur, pelancong serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Katanya, pembangunan seperti Hotel Voco, Kuching selari dengan usaha kerajaan Sarawak mengubah model ekonomi negeri kepada ekonomi bernilai tinggi yang dipacu sektor perkhidmatan, inovasi dan teknologi.
“Bangunan ikonik seperti ini akan menjadi mercu tanda baharu di Kuching. Ia bukan sahaja memberi nilai kepada bandar raya ini tetapi turut meningkatkan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan, pelancongan dan kehidupan masyarakat,” tambahnya.
Abang Johari berkata, kemasukan jenama hospitaliti antarabangsa ke Sarawak turut menunjukkan keyakinan pemain global terhadap kestabilan ekonomi negeri serta potensi pertumbuhan jangka panjang yang dimiliki Sarawak.
Hadir sama, Pengarah Urusan, Elica Equity Sdn. Bhd., Dato Bobby Ting Sie Ching. – AYLA MEDINA/ JIWA BAKTI
