KUCHING: Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 Bahagian Samarahan akan diadakan mulai 10 hingga 16 Ogos ini di Dewan Suarah Kota Samarahan.
Sambutan berkenaan bakal diisi dengan pelbagai pengisian dan aktiviti.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan yang bertemakan “Belia Aspirasi Kita” akan dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 15 Ogos.
“Sambutan bertujuan meningkatkan kesedaran bahawa kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan dan keperluan golongan belia sebagai aset masa depan negeri,” katanya pada sidang media mengenai program berkenaan di pejabatnya di Baitulmakmur II di sini, hari ini.
Pelbagai aktiviti diadakan termasuk Youth Expo, Youth Camp, Youth Combat, Youth Fun Run, Youth Fun Ride, E-Sports, Youth Marketplace serta pertandingan bakat dan kreativiti belia.
Tambahnya, sebanyak 30 gerai usahawan belia turut mengambil bahagian mempromosikan produk tempatan masing-masing.
Turut diadakan penyampaian Anugerah Belia Sarawak 2026 bagi kategori individu dan persatuan.
“Kami menyasarkan sekitar 7,000 pengunjung akan hadir memeriahkan sambutan tahun ini,” ujarnya.
Selain itu, katanya, beberapa artis tempatan turut membuat persembahan untuk menghiburkan pengunjung yang hadir.
Antaranya adalah Mawat, Faris Malek, Hairee Francis, Raquel Tan, Hijrah Yahya, Firdaus Materang dan JayC, serta artis jemputan dari Semenanjung iaitu Afiq Syazwan dan Baby Shima. – NORAIDA ABDUL KASSIM/ JIWA BAKTI
