Wakaf perlu jadi pemacu pembangunan lestari

KUALA LUMPUR: Institusi wakaf perlu beralih daripada sekadar instrumen kebajikan kepada pemacu pembangunan lestari yang mampu memperkasa pendidikan, kesihatan, modal insan dan kesejahteraan masyarakat dalam mendepani cabaran dunia moden.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perubahan dunia yang dipacu teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim dan pelbagai cabaran global menuntut pendekatan baharu dalam pengurusan serta pelaksanaan institusi wakaf tanpa mengubah falsafah asalnya sebagai amal jariah yang memberi manfaat berkekalan.

Menurutnya, wakaf perlu dilihat sebagai instrumen strategik yang mampu menyokong pembangunan pendidikan, kesihatan, perumahan, pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat, sekali gus menyumbang kepada keadilan sosial serta kemakmuran bersama.

“Wakaf bukan sekadar bantuan kebajikan, tetapi satu bentuk pemerkasaan masyarakat yang membuka peluang dan meningkatkan kesejahteraan manusia. Inilah semangat sebenar Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Abang Johari yang juga Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) berkata, sejarah membuktikan institusi wakaf menjadi tonggak pembinaan tamadun Islam menerusi pembiayaan universiti, hospital, sistem bekalan air dan pelbagai kemudahan awam yang memberi manfaat kepada masyarakat tanpa mengira kaum, budaya atau agama.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkasa wakaf ilmu dalam ekonomi, menggalakkan perkongsian kepakaran.

“Masa depan ummah bergantung kepada ilmu. Sejarah membuktikan ilmu asas tamadun. Ia mesti dikongsi untuk manfaat bersama. Wakaf ilmu membina legasi berpanjangan, setiap individu boleh menyumbang melalui ilmu,” ujarnya.

Menurutnya, Malaysia komited memajukan ekonomi Islam dengan menggabungkan prinsip Islam dan sistem moden bagi membuka potensi lebih besar kepada pembangunan institusi wakaf serta memperkukuh kerjasama di peringkat global.

Beliau berkata, konvensyen berkenaan menghimpunkan ilmuwan, pemimpin agama, penyelidik, wakil institusi wakaf dan delegasi dari pelbagai negara untuk berkongsi idea serta memperkukuh peranan wakaf sebagai instrumen pembangunan yang relevan dalam menghadapi cabaran abad ke-21.