LAWAS: Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dicadang menawarkan kursus juruukur tanah bertauliah.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, beliau akan membincangkan perkara ini dengan pihak pengurusan CENTEXS bagi mengatasi isu kekurangan tenaga kerja itu di Sarawak.
“Saya akan bincang dengan pengurusan CENTEXS kalau mereka dapat melihat dan dapat mengambil kira berhubung kursus-kursus sedemikian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ekspo Pendidikan Yayasan Sarawak FTES di Stadium Tertutup Lawas, di sini, baru-baru ini.
Awang Tengah berkata, setakat ini Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak bekerjasama dengan Universiti Teknologi MARA di Johor menawarkan kursus juruukur.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, ADUN Batu Danau Datuk Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pegawai Pendidikan Daerah Lawas Pengiran Abdul Kadir Pengiran Budin.
