SIBU: Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diingatkan supaya tidak memandang ringan Pilihan Raya Negeri (PRN), sebaliknya menganggapnya sebagai ‘peperiksaan besar’ dan perlu membuat ‘ulang kaji’.
Premier Sarawak dan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, persiapan rapi kunci kemenangan, keadilan dan perpaduan terus jadi asas perjuangan.
Katanya, walaupun tarikh PRN masih belum diumumkan, namun ia menuntut persiapan rapi untuk mencapai kejayaan cemerlang.
“Setiap ahli parti perlu sentiasa bersedia bagi memastikan Parti PBB terus meraih mandat kukuh daripada rakyat.
“Persiapan menghadapi pilihan raya perlu diibaratkan seperti calon yang membuat ulang kaji sebelum menduduki peperiksaan, kerana kejayaan hanya akan dicapai melalui usaha konsisten dan tersusun.
“Kita tidak tahu bila ‘peperiksaan’ itu akan diadakan, tetapi kita mesti sentiasa bersedia. Jangan ambil mudah. Kita perlu membuat ulang kaji dan memastikan kita memperoleh keputusan cemerlang,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Konvensyen Khas Parti PBB Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu, di sini, hari ini.
Abang Johari menekankan kepentingan perpaduan dalam parti, sambil mengingatkan bahawa PBB merupakan tulang belakang kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menerajui pembangunan negeri.
Katanya, keadilan harus menjadi prinsip utama dalam kepimpinan, tanpa mengira kaum atau agama, kerana ia menjadi asas kepada kestabilan dan kekuatan pentadbiran.
“Jika orang Melayu menjadi pemimpin, dia mesti adil kepada semua. Jika orang Iban menjadi pemimpin, dia juga mesti adil kepada semua. Itulah prinsip yang kita pegang,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan ahli parti agar tidak terlalu selesa dengan kejayaan lalu, kerana sikap leka boleh menjejaskan kesiapsiagaan menghadapi cabaran pilihan raya akan datang.
Sebagai tunjang GPS, katanya, Parti PBB perlu terus memperkukuhkan perpaduan, disiplin serta gerak kerja di semua peringkat bagi memastikan kemenangan cemerlang dalam PRN akan datang, sekali gus meneruskan agenda pembangunan Sarawak.
Hadir sama Timbalan Yang Dipertua Parti PBB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Naib Yang di-Pertua Kanan, Datuk Amar Fadillah Yusof dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom; Naib Yang di-Pertua Datuk Dr Annuar Rapaee, Datu Len Talif Salleh dan Dato Sri Fatimah Abdullah; Pengerusi Tetap Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Setiausaha Agung Dato Sri Alexander Nanta Linggi; serta Ahli-ahli Majlis Tertinggi.
