SIBU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menggesa jentera parti dan rakyat agar berwaspada terhadap ancaman berita palsu serta manipulasi digital yang disifatkan semakin mudah tersebar menerusi pelbagai platform media sosial, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Menteri Kerja Raya dan Setiausaha Agung Parti PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, perkembangan teknologi komunikasi menyebabkan penyebaran maklumat palsu kini berlaku dalam tempoh yang amat singkat.
Katanya, ini sekali gus menuntut masyarakat lebih berhati-hati sebelum mempercayai atau berkongsi sesuatu kandungan.
Beliau berkata, video yang dipotong, gambar yang dimanipulasi dan kenyataan yang diputarbelitkan mampu sampai kepada jutaan pengguna dalam masa beberapa minit melalui platform seperti TikTok, Facebook, WhatsApp dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Jangan mudah percaya apa sahaja yang muncul di media sosial. Semak dahulu kesahihan maklumat sebelum berkongsi kerana boleh mengelirukan rakyat dan mencetuskan salah faham,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti PBB Zon Tengah Sibu 2026, di Stadium Perpaduan, hari ini.
Majlis disempurnakan Premier Sarawak dan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Mengambil contoh isu Jambatan Batang Lupar, Nanta berkata fakta sebenar pernah diputarbelitkan sehingga menimbulkan persepsi negatif semata-mata untuk dijadikan modal politik oleh pihak tertentu sebelum kebenaran akhirnya terserlah.
Beliau turut menolak dakwaan kononnya masyarakat Dayak tidak diberi tempat dalam pentadbiran kerajaan dengan menyatakan ramai anak Dayak kini memegang jawatan penting di peringkat Persekutuan, kerajaan negeri serta pelbagai agensi strategik.
Menurutnya, Parti PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa berpegang kepada prinsip memberi peluang kepada setiap anak Sarawak yang berkelayakan untuk berkhidmat tanpa mengira kaum, sekali gus menolak naratif yang boleh memecahbelahkan rakyat.
Menyentuh persiapan menghadapi PRN Sarawak, Nanta berkata konvensyen itu menjadi platform penting untuk menyatukan fikiran, memperkukuh semangat dan menyelaraskan gerak kerja jentera parti.
Beliau berkata, kejayaan pelbagai agenda pembangunan Kerajaan GPS termasuk Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), ekonomi hidrogen, tenaga hijau, ekonomi digital, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta pembangunan luar bandar perlu dipertahankan melalui mandat rakyat pada PRN akan datang.
“Kemenangan dalam pilihan raya bukan sekadar soal politik, tetapi memastikan kesinambungan pembangunan Sarawak demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
