Sarawak tuntut lonjakan dana Persekutuan, jurang besar peruntukan penerokaan mineral

KUALA LUMPUR: Sarawak menggesa Kerajaan Persekutuan meningkatkan peruntukan bagi penerokaan dan pembangunan sumber mineral susulan jurang besar pembiayaan berbanding potensi strategik yang dimiliki negeri itu.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, menyuarakan gesaan itu ketika Mesyuarat Majlis Mineral Negara di sini, hari ini.

“Sarawak memperuntukkan RM33 juta bagi kajian sumber mineral, namun peruntukan Persekutuan hanya RM1.36 juta di bawah RMK-12 dan RM1.91 juta di bawah RMK-13.

“Jurang ini perlu ditangani bagi memastikan potensi mineral negeri dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya berucap pada mesyuarat majlis tersebut.

Beliau berkata, Sarawak memperuntukkan RM15 juta di bawah RMK-12 dan RM18 juta di bawah RMK-13 bagi kajian geologi serta penerokaan sumber mineral di seluruh negeri.

Mesyuarat Majlis Mineral Negara dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof.

Menurut Awang Tengah, jumlah peruntukan Persekutuan itu tidak sepadan dengan keluasan Sarawak dan potensi mineral yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Awang Tengah turut memaklumkan Johor menerima RM6.5 juta, manakala Sabah, Perak dan Kedah masing-masing memperoleh RM4.5 juta bagi tujuan kajian sumber mineral.

“Sarawak berharap peruntukan kajian sumber mineral dapat ditingkatkan ke tahap yang setanding dengan negeri-negeri lain demi pembangunan sektor ini secara mampan,” ujarnya.

Beliau berkata, peningkatan peruntukan Persekutuan akan mempercepatkan pemetaan geologi, menarik pelaburan serta memacu pembangunan industri hiliran, sekali gus mengukuhkan bekalan mineral kritikal negara.

Sehubungan itu, mesyuarat turut membincangkan pembangunan industri mineral negara dan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam pengurusan sumber mineral secara mampan.