Naik taraf bangunan warisan perlu dilaksana teliti, tanpa jejaskan nilai sejarah

KUCHING: Kerajaan sedang meneliti beberapa bangunan warisan di sini, berpotensi dipulihara dan diadaptasi untuk kegunaan baharu tanpa menjejaskan nilai sejarah serta seni bina asalnya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata,sebarang usaha menaik taraf bangunan warisan perlu dilaksanakan dengan teliti.

“Ini bagi memastikan identiti dan ciri asal bangunan dikekalkan.

“Terdapat beberapa bangunan di Kuching dikenal pasti untuk tujuan tersebut, termasuk bangunan di Jalan Haji Taha, Jalan Ban Hock serta beberapa bangunan warisan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Wisma Elica, Voco Kuching oleh IHG dan Care Collective di sini , hari ini.

Tegas beliau lagi, pelaksanaan ubah suai juga bergantung kepada persetujuan pemilik asal bangunan kerana bangunan warisan tidak boleh diubah sesuka hati.

“Sebarang pengubahsuaian perlu mematuhi garis panduan pemuliharaan dan mengekalkan nilai warisannya,” katanya.

Beliau menjelaskan, antara pendekatan yang boleh dilaksanakan ialah mengadaptasi bangunan lama kepada fungsi baharu.

Katanya, bangunan ini boleh dijadikan hotel atau ruang pejabat, sebagaimana dilakukan terhadap beberapa bangunan warisan terkenal.

“Sebagai contoh, Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur dan Hotel Fullerton di Singapura, diberi fungsi baharu tanpa menghilangkan identiti asal,” katanya.