KUCHING: Bekalan elektrik di Bahagian Serian bakal diperkukuhkan menerusi pembinaan substesen bagi menampung peningkatan permintaan tenaga di kawasan itu.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek
275/132/33kV bernilai RM223.5 juta itu bermula 1 Disember 2025 dijangka siap sepenuhnya pada 30 Jun 2028.
Ia akan menjadi komponen penting dalam usaha memperkukuh sistem grid elektrik di Bahagian Serian.
“Pembangunan pesat di Serian memerlukan kapasiti bekalan elektrik yang lebih tinggi. Justeru, kerajaan mengambil langkah awal bagi memastikan keperluan tenaga semasa dan masa depan dapat dipenuhi secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke tapak projek sistem bekalan elektrik Bahagian Serian, di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki.
Katanya, apabila siap kelak substesen berkenaan akan meningkatkan kapasiti bekalan menerusi suntikan tambahan ke dalam sistem grid dan memperkukuhkan kebolehpercayaan bekalan elektrik di Serian, Tebedu, Gedong, Lundu serta sebahagian Bahagian Samarahan hingga ke Simunjan.
Tambah beliau, projek itu bukan sahaja meningkatkan kapasiti bekalan elektrik, malah dijangka mengurangkan risiko gangguan bekalan pada masa hadapan.
Setakat ini, kemajuan fizikal pembinaan mencapai 12 peratus dan kerja-kerja pembinaan berjalan mengikut jadual.
“Kerajaan Sarawak turut melaksanakan beberapa projek pencawang lain di Bahagian Serian, termasuk di Tebedu dan Mongkos, menjadikan keseluruhan pelaburan bagi pembangunan pencawang di bahagian itu mencecah kira-kira RM260 juta menerusi pembiayaan Sarawak Energy yang dilaksanakan oleh SESCO,” katanya.
