KUCHING: Seramai 1,503 kanak-kanak dari 92 prasekolah SeDidik di Sarawak menjalani saringan perkembangan digital berasaskan kecerdasan buatan (AI), sekali gus menjadikan negeri ini pelaksana pertama program seumpamanya dalam sektor awam.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, 55 daripada 484 kanak-kanak dalam kumpulan pertama dikenal pasti memerlukan intervensi awal dan kini mengikuti program sokongan perkembangan.
“Zaman awal kanak-kanak ialah asas pembelajaran sepanjang hayat.
“Dengan memperkasakan guru, memanfaatkan inovasi dan mengamalkan pendidikan inklusif, kita membuka peluang kepada setiap kanak-kanak untuk mencapai potensi mereka,” katanya pada sidang media Kemajuan Pelaksanaan Program Saringan dan Intervensi Perkembangan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, program kerjasama SeDidik Sdn Bhd dan TOY8 itu menggabungkan saringan digital, diagnosis dan intervensi awal bagi membantu kanak-kanak sebelum memasuki sekolah rendah.
Menurutnya, dasar keterangkuman SeDidik memastikan semua kanak-kanak diterima di prasekolah manakala 140 guru diperakui sebagai penyaring perkembangan selepas menerima latihan khas.
“Matlamat kita bukan sekadar mengenal pasti kelewatan perkembangan, tetapi memastikan setiap kanak-kanak menerima intervensi yang sesuai supaya lebih bersedia mengikuti pendidikan formal,” tambahnya.
Fatimah berkata, analisis Pulangan Pelaburan Sosial (SROI) menunjukkan setiap RM1 yang dilaburkan menghasilkan manfaat sosial bernilai RM2.23, meliputi penjimatan kos kesihatan, peningkatan produktiviti ibu bapa dan kesejahteraan keluarga.
Pada sidang media sama, kementerian turut mencadangkan Anugerah Guru Inklusif 2026 bagi menghargai guru yang cemerlang dalam pelaksanaan saringan, intervensi dan pendidikan inklusif.
Sehubungan itu, Sarawak akan meneruskan kerjasama dengan SeDidik dan TOY8 bagi memperluaskan penyelidikan serta intervensi awal, selain membuka Pusat Intervensi Awal Sehenti (OSEIC) di Miri pada 2027.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe, Ketua Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak KPWK, Salina Bujang serta Pengurus Besar SeDidik Sdn. Bhd., Ayub Dahari.
