SUITEX26 berlangsung di Miri mulai 28-30 Ogos ini

KUCHING: Festival Expo Umrah dan Pelancongan Islam Sarawak 2026 (SUITEX26) akan diadakan mulai 28 hingga 30 Ogos ini di pusat beli-belah Boulevard, Miri.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, SUITEX26 dianjurkan Pertubuhan Agensi Umrah dan Haji Sarawak (SUHA) dengan mendapat sokongan penuh kementeriannya.

“Penganjuran ini sebagai salah satu inisiatif yang menyokong pembangunan sektor pelancongan Islam.

“Ini turut membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan industri Islam di Sarawak,” katanya semasa sidang media penganjuran program tersebut di Baitulmakmur II, di sini, hari ini.

Abdul Karim yakin program tersebut mampu memberi manfaat kepada mereka yang berhasrat menunaikan umrah dan haji.

Selain itu, katanya, program seperti ini turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, pelancongan serta pembangunan usahawan tempatan.

Sementara iitu, pengerusi SUHA, Ruzaiman Ghazalee berkata, SUITEX26 adalah penganjuran kedua dan dijangka menjadi pameran terbesar berkaitan dengan pelancongan Islam di Sarawak.

“Kami menghimpunkan agensi Umrah berlesen, syarikat pelancongan Islam, institusi kewangan Islam dan usahawan Muslim.

“Tujuan adalah mempromosikan pakej umrah, haji serta pelancongan Islam, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat supaya memilih agensi yang sah,” katanya.

Tambahnya, program tiga hari berkenaan turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik.

Antara aktiviti lain katanya, termasuk forum, perkongsian ilmu, Program Haji Cilik, saringan kesihatan percuma dan cabutan bertuah dengan hadiah utama pakej Umrah percuma.

Beliau turut berharap, selain pengunjung dari Sarawak, pengunjung dari Sabah, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia turut dijangka hadir.