164 penjawat awam terima Pingat Perkhidmatan Setia

SARIKEI: Seramai 164 penjawat awam daripada pelbagai jabatan dan agensi dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Setia di sini, hari ini.

Penganugerahan itu sebagai menghargai tempoh perkhidmatan, komitmen dan sumbangan mereka kepada sektor awam.

Anugerah itu disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Dewan Majlis, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, hari ini.

Penyampaian berkenaan merupakan siri keenam penganugerahan Pingat Perkhidmatan Setia yang diadakan di seluruh Sarawak tahun ini, membabitkan penerima daripada 11 jabatan dan agensi kerajaan negeri serta enam agensi Persekutuan.

Tiga penerima turut diberikan penghargaan khas selepas menabur bakti selama 37 tahun dalam perkhidmatan awam, iaitu Philip Sanjan dari Jabatan Pertanian Sarawak, Abdul Latip Osen daripada Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak dan Dacy Christopher Ugot dari Jabatan Pendidikan Sarawak.

Jabatan Pendidikan Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi dengan 28 orang, diikuti Jabatan Kesihatan Sarawak (24), Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (18), Majlis Daerah Sarikei (16), Pejabat Residen Sarikei (14) dan Jabatan Hutan Sarawak (13).

Turut mencatatkan bilangan penerima yang ramai ialah Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dengan 12 orang, Jabatan Pertanian Sarawak (10), Jabatan Kastam Diraja Malaysia Sarawak (tujuh), Jabatan Penerangan Sarawak (enam), Jabatan Kerja Raya Sarawak (empat) serta Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (tiga).

Selain itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Jabatan Kehakiman Syariah Sarawak, Jabatan Imigresen Sarawak dan Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak masing-masing diwakili dua penerima, manakala Jabatan Agama Islam Sarawak mempunyai seorang penerima, melengkapkan keseluruhan 164 penjawat awam.