KOTA SAMARAHAN: Tapak Halaman Samarahan di sini akan dibangunkan secara berperingkat untuk membolehkannya dijadikan sebagai lokasi penganjuran program berskala besar.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang berkata, selain itu tapak berkenaan turut dijadikan ruang rekreasi.
Katanya, pembangunan tapak itu kini memasuki fasa baharu selepas hampir dua pertiga kawasan itu siap dengan peruntukan RM1.5 juta.
“Kemudahan tambahan bernilai sekitar RM500,000 akan dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya selepas merasmikan Tapak Halaman Samarahan, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, keseluruhan projek membabitkan peruntukan RM3.8 juta, dengan fasa pertama bernilai RM1.5 juta telah siap sebelum diserahkan kepada Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) selaku pemilik kawasan.
Pembangunan fasa kedua pula akan memberi tumpuan kepada penambahan kemudahan asas termasuk tandas, bekalan air dan elektrik selain sistem pencahayaan dan keupayaan tapak menampung acara berskala lebih besar, tegas beliau.
Menurut Rubiah, peruntukan sekitar RM500,000 juga diterima bagi kerja menaik taraf kemudahan lampu termasuk cadangan pemasangan lampu solar dan lampu hiasan berwarna-warni pada tahun ini.
“Untuk menarik lebih banyak acara di negeri dan nasional, kita perlu tingkatkan lagi kemudahan yang ada dan pentas asas yang boleh membantu penganjur mengurangkan kos,” tambahnya.
Rubiah berkata, antara program yang bakal berlangsung di lokasi itu ialah GEMA anjuran KKDW pada 21 hingga 23 Ogos ini selain program Sarawakku Sayang (SKS) bagi Kota Samarahan.
