KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju biodiversiti serantau menerusi pembangunan Pelan Tindakan Biodiversity Nexus.
Menurut kenyataan media UNIMAS, inisiatif itu selaras Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), agenda Nature Positive serta usaha menangani perubahan iklim.
Komitmen itu diperkukuhkan menerusi Sesi Libat Urus Bersama Pemegang Taruh Pelan Tindakan Biodiversity Nexus yang menghimpunkan 69 peserta daripada pelbagai sektor bagi memperhalusi pelan tindakan, tadbir urus, kerjasama strategik dan hala tuju pelaksanaannya.
Pelan tersebut meletakkan biodiversiti sebagai pemacu penyelidikan, inovasi, pembangunan lestari dan kesejahteraan masyarakat, sekali gus mengukuhkan peranan UNIMAS sebagai Biodiversity Nexus of Borneo.
Pelan berkenaan kata kenyataan itu, dibangunkan berasaskan enam teras strategik bagi memperkukuhkan pemuliharaan biodiversiti serta pembangunan mampan.
UNIMAS turut mengadakan Pameran Biodiversiti yang menampilkan lebih 15 hasil penyelidikan dan inovasi, sekali gus mengeratkan kerjasama antara penyelidik, kerajaan, industri dan komuniti.
