TANJUNG MANIS: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) akan menganjurkan Festival Makers Borneo (BMF) bagi menghimpunkan peminat teknologi Kecedasan Buatan (AI).
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, merangkap Pengerusi Lembaga Amanah TEGAS, Datuk Len Talif Salleh berkata BMF bakal berlangsung di TEGAS Digital Village Kuching pada 23 Ogos ini.
Festival berkenaan bertemakan “Kecerdasan Buatan untuk Pembuat”.
“Festival ini merupakan platform inovasi dan kreativiti yang menghimpun para innovator dan peminat teknologi untuk menerokai interasi AI dalam bidang robotik, fabrik digital dan seni kreatif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Project of Dream Realized (Pro-DR) Edisi Ke-11 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai di sini, hari ini.
Len berkata melalui pertandingan inovasi, bengkel interaktif berkaitan dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Keusahawanan, beliau berharap festival ini menginspirasikan belia Sarawak untuk memanfaatkan teknologi moden bagi
menyelesaikan masalah komuniti.
Selain itu, beliau menggesa pelajar dan belia di kawasan tersebut merebut peluang melalui Jelajah Pro-DR edisi ke-11 di SMK Belawai.
“Jelajah Pro-DR kali ini membawakan kelainan program dengan menjelajah ke-14 lokasi seluruh Sarawak selama 29 hari,” tambahnya.
Ini melibatkan 45 institusi pendidikan dan latihan, agensi kerajaan dan bantuan kewangan.
