DEBAK: Seramai 48 wanita menyertai Program Kemahiran Kraf yang memberi tumpuan kepada seni pembuatan dan ukiran Sugu Tinggi di Rumah Jimmy, Ulu Bayor, Ulu Rimbas, semalam.
Program anjuran Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban itu turut disertai ahli Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Rimbas Ulu.
Ketua Wanita PBB Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah berkata, program berkenaan memberi peluang kepada wanita mempelajari kemahiran baharu yang mempunyai nilai budaya dan ekonomi.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan seni kraf tradisional seperti Sugu Tinggi terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada wanita mempelajari kemahiran baharu, tetapi turut membuka ruang untuk memastikan seni kraf tradisional seperti Sugu Tinggi terus hidup dan tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Menurutnya, kemahiran yang diperoleh menerusi latihan praktikal boleh membantu peserta menghasilkan produk kraf dengan lebih kreatif, kemas dan berkualiti.
Latihan dikendalikan tenaga pengajar, Edika Jalin yang memberikan tunjuk ajar secara praktikal berkaitan teknik pembuatan dan ukiran Sugu Tinggi.
