Hujan redakan jerebu, isu bekalan air Lubok Antu dipantau

KUCHING: Hujan lebat di bandar raya ini membantu meredakan keadaan jerebu di Sarawak, namun paras air empangan hidro masih rendah dan isu bekalan air di beberapa kawasan Lubok Antu terus dipantau.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kebanyakan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) hari ini berada pada tahap sihat.

“Cuaca pada masa ini baik dan kita bersyukur kerana hujan, sekali gus meredakan keadaan jerebu.

“Namun, kita masih menerima laporan daripada Sarawak Energy Berhad (SEB) bahawa paras air di empangan hidro masih agak rendah,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama Agama Lain Tahun 2026 ( Fasa 1), di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri terus berkoordinasi dengan Jabatan Meteorologi Malaysia bagi menilai keadaan semasa sebelum menentukan pelaksanaan pembenihan awan seterusnya.

“Masalah bekalan air masih berlaku di beberapa kawasan Lubok Antu dan pejabat Residen bahagian berkenaan diminta mengambil tindakan segera,” tambahnya.

Uggah berkata, aduan berkaitan bekalan air perlu ditangani segera dengan penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.

Beliau turut menasihatkan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) menyusun semula perancangan bagi menghadapi kemungkinan masalah bekalan air sekiranya keadaan panas dan kering berterusan.