KUCHING: Sarawak membangunkan platform kecerdasan buatan (AI) berdaulat bagi menyatukan data kerajaan untuk tujuan perancangan dan pembangunan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, platform itu turut membezakan data yang boleh diakses dengan maklumat strategik dan sensitif yang perlu dilindungi.
“Kerajaan Sarawak menyatukan data dalam satu platform untuk dikongsi oleh pihak yang memerlukan, namun data strategik dan sensitif perlu dikenal pasti serta dilindungi.
“Di sinilah pentingnya AI berdaulat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Platform Infrastruktur Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat Sarawak, di sini, hari ini.
Menurutnya, data umum termasuk maklumat berkaitan prosedur perniagaan boleh diakses melalui platform Sarawak bagi memudahkan urusan rakyat dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Katanya, Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) turut membangunkan rangkaian dipercayai bagi membolehkan agensi kerajaan dan rakyat mendapatkan data yang diperlukan daripada platform berkenaan pada bila-bila masa.
“Data strategik yang mempunyai kepentingan keselamatan tidak boleh diakses secara terbuka dan perlu menjadi sebahagian daripada data berdaulat yang dilindungi.
Di sinilah peranan SAINS untuk membezakan antara kedua-dua jenis data tersebut,” katanya ketika ditemui media selepas majlis berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata platform itu turut menyokong perancangan bandar pintar, termasuk penentuan kawasan perumahan, daerah perniagaan, jaringan pengangkutan awam dan keperluan utiliti berdasarkan data pelbagai agensi.
Beliau berkata, data berkaitan sektor pertanian dan perindustrian juga boleh dimanfaatkan, termasuk maklumat lokasi serta kawasan taman perindustrian untuk tujuan perancangan.
Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak menyasarkan memiliki sekurang-kurangnya enam satelit sendiri menjelang 2030 bagi mendapatkan data dari bumi secara berterusan serta menyokong kepentingan strategik negeri.
Katanya, kemudahan itu turut boleh digunakan bagi pelbagai pengukuran berkaitan sumber dan keperluan Sarawak.
