Sumbangan, perjalanan hidup Toh Puan Fauziah diabadikan dalam Mawar Astana Mekar di Jiwa

KUCHING: Perjalanan hidup serta sumbangan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi diabadikan dalam sebuah karya Mawar Astana Mekar di Jiwa, selain boleh dibaca menerusi e-buku secara dalam talian.

Naskhah hasil nukilan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tribune dan Suara Sarawak Datuk Dr Jeniri Amir serta Eksekutif Editor Rohana Wahed ini mengangkat kisah, kenangan dan jasa beliau sepanjang menabur bakti kepada masyarakat.

Karya merangkumi 267 muka surat itu bukan sekadar catatan biografi, tetapi turut mendokumentasikan nilai, pengalaman, pengorbanan dan sumbangan Toh Puan sebagai seorang wanita yang menjadi sebahagian daripada sejarah negeri Sarawak.

Seterusnya, membawa pembaca menelusuri pelbagai fasa kehidupan Toh Puan, bermula daripada zaman awal kehidupan, pendidikan dan kerjaya sebagai pramugari.

Di samping, menelusuri kehidupan beliau berkeluarga sehinggalah menggalas peranan sebagai isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Selain perjalanan peribadi, buku ini mengetengahkan nilai ketabahan, kesederhanaan, kesetiaan dan keikhlasan Toh Puan dalam memainkan pelbagai peranan sebagai anak, isteri, ibu dan anggota masyarakat.

Naskhah turut mengangkat peranan wanita sebagai tonggak keluarga dan masyarakat, serta menampilkan nilai sokongan, pengorbanan dan kesetiaan di sebalik perjalanan seorang pemimpin.

Penghasilan karya ini melibatkan kerjasama pasukan editorial, penulis, penyelidik dan penyunting bagi memastikan kisah kehidupan wanita yang disegani masyarakat dirakamkan dengan penuh penghormatan dan ketelitian.

Malah, barisan penulis turut mempunyai pengalaman menghasilkan karya berkaitan Astana, termasuk buku Dari Rimba ke Astana dan 365 Days in Astana.

Mawar Astana Mekar di Jiwa bukan sekadar kisah tentang seorang wanita, tetapi merupakan cerminan nilai kehidupan yang mengangkat kasih sayang, ketabahan, kesetiaan dan keikhlasan.

Pada masa sama, menjadi sumber inspirasi kepada generasi masa kini dan akan datang, khususnya wanita Sarawak.

Pelancaran buku di Dewan Santapan, Aras 1, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak disempurnakan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain.

Hadir sama Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan lain-lain.