Kehidupan Toh Puan Fauziah boleh dijadikan inspirasi

KUCHING: Kisah hidup isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd. Sanusi yang berliku dan mencabar boleh dijadikan inspirasi kepada golongan wanita menjadi insan yang lebih baik.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Toh Puan Fauziah sepanjang perjalanan hidupnya turut menggambarkan ketabahan, kekuatan, kelembutan dan keanggunan.

Salah satu perkara yang paling menyentuh hati dalam perjalanan hidup Toh Puan ialah tentang keikhlasan beliau membicarakan perkahwinan dengan Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, katanya semasa melancarkan buku ‘Mawar Astana Mekar Di Jiwa’ di Dewan Santapan DUN Sarawak di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurut Fatimah, pada hari ini bukan hanya meraikan pelancaran sebuah buku.

“Kita sebenarnya, meraikan sesuatu yang lebih besar daripada itu.

“Kita meraikan sebuah kehidupan yang telah memberi makna kepada begitu banyak insan iaitu insan istimewa yang dicintai, dan insan yang perlu diktiraf dan dihargai kehadiran mereka,” kata Fatimah.

Menurut Fatimah, pada hematnya, judul buku Mawar Astana Mekar di Jiwa itu sendiri cukup indah dan sarat dengan simbol kerana mawar bukan sahaja melambangkan keindahan, malah turut menggambarkan ketabahan, kelembutan, keanggunan dan kekuatan.

Demikianlah nilai-nilai yang terpancar melalui perjalanan serta keperibadian Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah, yang terus menjadi sumber inspirasi kepada golongan wanita, khususnya wanita Sarawak, tegas beliau.

Semoga mawar itu terus mekar — bukan hanya di Astana, tetapi dalam keluarga, dalam masyarakat, dan paling indah, di jiwa setiap insan yang pernah disentuh oleh keikhlasan Toh Puan, katanya.

Justeru, tambahnya, pertemuan pada hari ini bukan sekadar untuk melancarkan sebuah buku, tetapi untuk meraikan sebuah perjalanan, mengabadikan sebuah jasa dan menghargai sebuah legasi yang diharapkan akan terus mekar dan mewangi di hati dan jiwa generasi akan datang.