KUCHING: Jambatan Sejingkat yang merintangi Sungai Sarawak di sini dijangka dibuka kepada orang awam sebaik sahaja siap 1 Oktober ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan berharga RM365.737 juta itu dalam proses akhir penyiapan, iaitu mendahului jadual.
Dengan siapnya jambatan berkenaan katanya, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjaya menyiapkan 12 jambatan mega di seluruh negeri setakat ini.
“Sebanyak 11 jambatan sudah siap dan ini merupakan jambatan ke-12.
“Sementara, masih dalam pembinaan dan hampir siap adalah Jambatan Batang Paloh, Jambatan Saribas 2, Jambatan Rambungan, Jambatan Limbang, Jambatan Marina Miri dan Batang Lupar 2,” katanya kepada media selepas menyempurnakan kerja-kerja akhir penyambungan Jambatan Sejingkat di sini.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, lebih membanggakan lagi, kos membina jambatan terbabit menggunakan dana Kerajaan Sarawak sendiri.
Dengan panjang keseluruhan 1,281.2 meter (m), Jambatan Sejingkat dua hala berkembar dibina mengikut Piawaian JKR R5. Komponen utamanya merangkumi struktur jambatan berkabel dengan tiga rentang sepanjang 200 meter, 400 meter dan 200 meter, selain enam rentang ‘prestressed concrete T-girders’ sepanjang 40 meter masing-masing di bahagian Tanjung Bako dan Sejingkat.
Beliau berkata, jambatan itu sememangnya merupakan satu perubahan besar kepada kawasan ini dan akan menjadi satu lagi tarikan pelancongan.
Beliau optimis Sarawak, khususnya Kuching, akan berkembang dengan pesat pada masa hadapan.
Jambatan Sejingkat, tambahnya, merupakan satu perubahan besar kepada Kuching kerana dahulu penduduk dari Kota Samarahan yang mahu pergi ke Demak Laut, Petra Jaya atau kawasan perindustrian di sebelah sini perlu melalui pusat bandar sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas yang serius.
Dengan siapnya jambatan ini, katanya, sebahagian besar trafik, sama ada dari arah Serian atau Kota Samarahan, boleh menggunakan laluan ini yang akan menjadi satu perubahan besar kepada sistem lalu lintas di Kuching.
Sambil menzahirkan rasa kecewa apabila ada pihak memperkecilkan pembinaan jambatan tersebut dengan mendakwa Pelabuhan Pending akan mati, beliau berkata, pihak terbabit sebenarnya tidak mengetahui apa yang sedang berlaku dan Pelabuhan Pending masih beroperasi sepenuhnya.
Malah pelabuhan itu beroperasi dengan lancar, justeru tuduhan tersebut sama sekali tidak tepat.
Selain itu, kata Uggah, Kerajaan GPS juga mempunyai Program Transformasi Jambatan Luar Bandar bagi kawasan pedalaman yang menghadapi masalah, khususnya bekas jalan balak yang menggunakan jambatan kayu dan sebagainya, yang menimbulkan banyak masalah kepada masyarakat.
Kerajaan GPS mempunyai program untuk perkara tersebut dan kini terdapat kira-kira 58 jambatan yang sedang dalam pembinaan, katanya.
Beliau menambah, ini adalah jambatan kecil, berbanding 12 jambatan mega yang telah siap tetapi ia sangat penting kepada masyarakat di pedalaman.
