KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menyambut baik cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta pembentukan Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (OHEA).
UNIMAS dalam kenyataan media hari ini berkata, usaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membangunkan kerangka perundangan pendidikan tinggi baharu selaras dengan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
“UNIMAS berpandangan pembaharuan kerangka perundangan pendidikan tinggi merupakan langkah penting dalam memastikan sistem pendidikan tinggi negara terus relevan, dinamik,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.
Pembaharuan berkenaan perlu mengambil kira keseimbangan antara autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa dengan keperluan tadbir urus serta akauntabiliti institusi.
Pada masa sama, UNIMAS menegaskan kecemerlangan pendidikan tinggi negara perlu terus dipelihara sepanjang proses pembentukan kerangka perundangan baharu berkenaan.
“Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi awam di Sarawak, UNIMAS bersedia memberikan kerjasama serta menyumbang pandangan dan kepakaran berasaskan pengalaman institusi dalam bidang pendidikan,” tambahnya.
Kepakaran berkenaan turut mengambil kira konteks pendidikan tinggi serta keperluan pembangunan Sarawak.
Institusi itu turut menyatakan kesediaan untuk terlibat dalam proses libat urus yang akan dilaksanakan KPT bersama pihak berkepentingan bagi membentuk kerangka perundangan pendidikan tinggi negara baharu.
