Platform AI Sarawak mudahkan urusan pelabur

KUCHING: Platform kecerdasan buatan (AI) Sarawak menyediakan maklumat kawasan dan taman perindustrian bagi memudahkan pelabur membuat permohonan projek.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, semua data kerajaan disatukan dalam satu platform untuk digunakan perancangan dan pembangunan.

“Pelabur boleh mengakses maklumat mengenai lokasi yang sesuai, keluasan kawasan dan maklumat berkaitan sebelum membuat permohonan kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Platform Infrastruktur Kecerdasan Buatan Berdaulat Sarawak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kemudahan itu membolehkan maklumat berkaitan taman perindustrian termasuk taman bioteknologi di Samarahan, diperoleh tanpa perlu mendapatkan maklumat daripada pegawai kerajaan secara berasingan.

Menurutnya, data turut boleh digunakan untuk mengenal pasti kawasan sesuai bagi sektor pertanian selain membantu perancangan pembangunan bandar pintar.

Katanya, akses berkenaan turut terbuka kepada pelabur luar yang menjalinkan usaha sama dengan Sarawak termasuk bagi cadangan penempatan loji pembuatan berkaitan biodiesel.

“Kalau mereka menjalinkan usaha sama dan ingin menempatkan sebuah loji pembuatan berkaitan biodiesel mereka hanya perlu mengakses platform kita.

“Kita boleh menunjukkan lokasi yang sesuai, keluasan kawasan serta maklumat berkaitan yang terdapat dalam data tersebut,” tambahnya.