Ilmu pengurusan jenazah perlu diperkasa

BINTULU: Penguasaan ilmu fardu kifayah dalam masyarakat Islam perlu diperkasa secara berterusan menerusi program pendidikan dan latihan praktikal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata antaranya ilmu berkaitan pengurusan jenazah yang merupakan sebahagian daripada tuntutan fardu kifayah.

“Masyarakat perlu mempunyai kesedaran serta kemahiran untuk melaksanakannya dengan betul,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penangguhan Kursus Pengurusan Jenazah dan penyampaian sijil kepada peserta di Masjid Darul Makmur, Kampung Jepak, semalam.

Kursus anjuran Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Makmur Kampung Jepak dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Bahagian Bintulu dan Lembaga Amanah dan Kebajikan Islam Bintulu (LAKIB) itu menarik penyertaan lebih 200 peserta dari sekitar Jepak dan Bintulu.

Iskandar berkata, program seumpama itu bukan sahaja memberi pendedahan mengenai tatacara pengurusan jenazah, malah membantu melahirkan lebih ramai individu berkemahiran melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah terbabit bila diperlukan.