LAWAS: Kemajuan yang dikecapi hari ini tidak akan membawa makna jika masyarakatnya tidak hidup seimbang dari segi akhlak, ilmu pengetahuan dan rohani.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, mengecapi hidup seimbang itu harus berpaksikan kepada pedoman daripada ajaran yang terkandung dalam Al-Quran.
“Justeru, Sarawak memerlukan generasi yang memiliki hidup seimbang dari segi rohani, ilmu pengetahuan dan akhlak yang baik jika mahu membina masyarakat sejahtera dan makmur,” katanya merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Lawas di Kampung Pemukat, Kuala Lawas di sini, malam tadi.
Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari berkata, generasi yang hidup seimbang mampu memastikan pembangunan dilaksanakan seiring dengan tuntutan zaman.
Kemajuan tanpa akhlak dan nilai integriti juga tidak akan membawa sebarang makna, katanya.
Beliau menambah, pemimpin mahupun kelompok masyarakat yang adil akan memastikan rakyat tidak akan terpinggir.
“Inilah keseimbangan yang kita mahukan iaitu pembangunan yang membawa kemajuan dan nilai selaras dengan ajaran yang terkandung dalam Al-Quran iaitu bersifat amanah dan bertanggungjawab.
“Sama ada kita seorang pemimpin, penjawat awam, ketua masyarakat, usahawan, ibu bapa mahupun masyarakat, harus bersikap amanah dan bertanggungjawab dalam memimpin,” tegas beliau.
Dalam melaksanakan amanah tersebut, tambahnya, mestilah berpegang kepada prinsip keadilan, integriti dan kejujuran.
Kerajaan dan rakyat perlu bergerak bersama untuk membina masyarakat yang benar-benar menepati semangat ‘Ummah Maju Makmur’, katanya
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengarah Agensi Pembangunan Utara Sarawak Datu Ubaidillah Latip dan Temenggong Rosli Majid.
