KUCHING: Sarawak mahu menjadikan kelestarian alam sekitar bukan sekadar agenda pemuliharaan, sebaliknya sebahagian daripada pemacu ekonomi baharu negeri menerusi peralihan kepada tenaga bersih, sumber boleh diperbaharui dan industri rendah karbon.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan itu berpotensi membuka lebih banyak peluang pelaburan, memperkembangkan teknologi baharu serta mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi masa depan.
Menurutnya, pembangunan ekonomi Sarawak perlu terus dipacu bagi mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan industri, membina infrastruktur, meningkatkan kesalinghubungan serta pendapatan rakyat.
“Bagaimanapun, kemajuan berkenaan perlu dilaksanakan seiring dengan usaha melindungi sumber semula jadi negeri yang menjadi asas kepada kemakmuran jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh pada Simposium Wanita dalam Alam Sekitar 2026: Tindakan Iklim, Pemuliharaan Alam Semula Jadi, Transformasi Digital dan Kepimpinan Inklusif di sini, hari ini.
Abang Johari menambah, antara cabaran yang dihadapi bukanlah sama ada keperluan untuk memilih antara pembangunan dan pemuliharaan.
Namun katanya, cabarannya ialah bagaimana untuk mencapai kedua-duanya.
“Bagaimanakah kita membina ekonomi yang berdaya saing, inovatif dan makmur, sambil melindungi sistem semula jadi yang menjadi asas kepada kemakmuran tersebut?” soalnya.
