Peruntukan khas RM53 juta laksana tiga projek tebatan banjir Bintulu

BINTULU: Projek tebatan banjir di Gem Park, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Sebiew dan Desa Damai di sini dijangka mula dilaksanakan Oktober ini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Hui Kian berkata Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan khas sebanyak RM53 juta untuk tiga projek terbabit yang dilaksanakan di bawah Projek Tebatan Banjir Bintulu Fasa 2.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) memaklumkan tender dijangka dipanggil seawal September ini, manakala kerja di lapangan dijangka bermula antara pertengahan hingga akhir Oktober,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika turun padang bersama DID Bahagian Bintulu dan pihak perunding bagi meninjau dan memastikan persiapan pelaksanaan projek terbabit di Gem Park, di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Sim bersama Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Angellie Stephen Raja menghadiri taklimat pelaksanaan Projek Tebatan Banjir Bintulu Fasa 2 di Pejabat DID Bahagian Bintulu.

Menurut Dr Sim, kejadian banjir yang berlaku setiap tahun mendorong ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming memohon pertimbangan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi melaksanakan projek tebatan banjir itu yang kemudian diluluskan peruntukan khas terbabit.

Selain itu, beliau mendedahkan kajian mengenai cadangan tebatan banjir di Sungai Sebiew masih dijalankan dengan mengambil kira kepakaran perunding antarabangsa dari Denmark, Ramboll.

Katanya, perunding terbabit yang mempunyai pengalaman melaksanakan beberapa projek di Sarawak dan dilihat mampu membawa kepakaran serta piawaian antarabangsa dalam perancangan tebatan banjir.