KUCHING: Tujuh kawasan di Sarawak merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap berbahaya melebihi 300 setakat jam 10 pagi hari ini, susulan keadaan jerebu yang semakin memburuk di negeri itu.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kawasan terbabit ialah Serian dengan bacaan 475, Tebedu (402), Lubok Antu (375), Lundu (363), Kota Samarahan (333), Kuching (331) dan Sri Aman (331).
Beliau berkata, tiga lagi kawasan iaitu Sarikei, Sibu dan Mukah masing-masing merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat, masing-masing 275, 220 dan 215.
“Keadaan ini perlu diberi perhatian serius dan kita terus memantau perkembangan jerebu, khususnya membabitkan kawasan yang merekodkan bacaan IPU tinggi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat JPBN Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Menurutnya, keadaan jerebu ketika ini banyak dipengaruhi pergerakan angin dari Kalimantan, Indonesia, dengan sebanyak 1,180 titik panas dikesan di wilayah berkenaan pada 29 Ogos lalu.
Beliau berkata, Sarawak pula merekodkan sembilan titik panas pada 29 dan 30 Ogos, menjadikan jumlah kumulatif titik panas di negeri ini sebanyak 302 bagi tempoh Januari hingga Ogos, termasuk 186 yang dikesan pada bulan ini.
“Bagi tempoh sama, Kalimantan merekodkan sebanyak 15,587 titik panas, dengan 13,212 daripadanya dikesan pada Ogos sahaja,” ujarnya.
Uggah berkata, kesiapsiagaan operasi pencegahan kebakaran turut diperkukuhkan menerusi jawatankuasa di peringkat bahagian dan daerah yang melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RELA.
Beliau berkata, pendekatan yang dilaksanakan di Kuala Baram, Miri, termasuk kerjasama dengan syarikat perladangan dan pemilik tanah berskala besar serta pembinaan empangan kawalan dan telaga tiub terbukti berkesan dalam mengawal kebakaran tanah gambut.
“Pendekatan ini akan diperluaskan ke kawasan lain yang dikenal pasti berisiko bagi memastikan kebakaran tanah gambut dapat dikawal dan tidak menyumbang kepada keadaan jerebu yang lebih buruk,” katanya.
