KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian mencecah 399 setakat 12 tengah hari hari ini, diikuti Samarahan 332, Kuching 304 dan Tebedu 302 yang kesemuanya berada pada kategori berbahaya.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS), berkata, keadaan jerebu dan kualiti udara di beberapa kawasan negeri terus dipantau.
Tiga kawasan turut merekodkan bacaan sangat tidak sihat iaitu Lubok Antu 243, Lundu 236 dan Sri Aman 228.
“Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar terutama aktiviti fizikal lasak dan menggunakan pelitup muka N95 jika pendedahan di luar tidak dapat dielakkan,” kata kenyataan media JPBS, di sini, hari ini.
Sarikei, Sibu, Bintulu, Mukah, Samalaju, Kapit, Miri, ILP Miri, Lawas dan Bario pula merekodkan bacaan tidak sihat manakala Limbang berada pada tahap sederhana dengan bacaan 97.
“Sekiranya IPU melebihi 500, pejabat dan tempat kerja kerajaan serta swasta hendaklah ditutup, kecuali perkhidmatan penting, tertakluk kepada arahan dan pengisytiharan darurat bencana,” tambah kenyataan itu.
JPBS turut menasihatkan semua pihak menilai semula aktiviti luar apabila IPU melebihi 200, khususnya yang melibatkan kanak-kanak, warga emas dan golongan rentan.
Orang ramai diminta merujuk bacaan rasmi Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS), selain mengelakkan pembakaran terbuka yang boleh memburukkan keadaan jerebu.
