Sarawak antara pusat tenaga bersih utama ASEAN

KUCHING: Sarawak menyasarkan kapasiti bekalan tenaga meningkat daripada 5.9 gigawatt kepada 10 gigawatt menjelang 2030.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kira-kira 61 peratus kapasiti penjanaan elektrik terpasang Sarawak kini datang daripada sumber tenaga boleh diperbaharui, khususnya hidro.

“Tenaga bersih ini akan menjadi asas kepada pembangunan hidrogen, industri hijau, pusat data dan pelbagai industri berteknologi tinggi,” katanya menerusi Perutusan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kekuatan tenaga bersih itu memberi potensi kepada Sarawak untuk menjadi antara pusat tenaga bersih utama ASEAN serta menyokong pembentukan grid tenaga ASEAN.

Sarawak turut menerima pengiktirafan apabila Bintulu disenaraikan sebagai Kluster Industri Peralihan (TIC) pertama Malaysia dalam kalangan 43 kluster industri berasaskan tenaga hijau di bawah Forum Ekonomi Dunia.

Abang Johari berkata, Sarawak juga mendapat perhatian Bank Pembangunan Asia (ADB) susulan usaha kerajaan negeri dalam pembangunan ekonomi hijau dan infrastruktur.

“Pada minggu hadapan saya akan mengetuai rombongan ke Manila susulan pertemuan dengan pihak ADB sebelum ini untuk memperkukuhkan jalinan kerjasama dengan bank tersebut,” tambahnya.

Dalam sektor pertanian, Sarawak kini merupakan pengeluar kelapa sawit terbesar negara dengan kawasan tanaman kira-kira 1.66 juta hektar dan pengeluaran sekitar 4.5 juta tan minyak sawit mentah pada 2025.

Penyelidikan padi perennial di Kuala Baram pula menunjukkan potensi hasil sehingga 14 tan sehektar bagi dua musim tanaman, sekali gus memberi peluang meningkatkan produktiviti padi Sarawak.