Sokongan berterusan mantapkan agenda pembangunan – Bell

SARATOK: Sokongan rakyat terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu dipertahankan bagi memastikan agenda pembangunan serta kemajuan Sarawak dapat dilaksanakan secara berterusan.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Krian, Bell Bernard Aggan berkata, malah kestabilan politik adalah asas penting untuk memastikan pembangunan Sarawak dapat diteruskan.

“Kita mahu sokongan kepada GPS terus diperkukuhkan kerana apa yang kita lihat hari ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil daripada perancangan dan usaha berterusan Kerajaan Sarawak membawa pembangunan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Santai ‘Segulai Sejalai’ anjuran Pergerakan Wanita dan Badan Induk Parti PBB Cawangan N39 Krian di Rumah Richard Anchang, Sebetan, di sini, semalam.

Menurut Bell, kemajuan yang dinikmati Sarawak perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas, termasuk pembangunan infrastruktur, peluang ekonomi, pendidikan, kemudahan asas serta usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat di bandar dan luar bandar.

Bell juga berkata, kekuatan Sarawak terletak pada semangat perpaduan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan latar belakang.

“Sarawak mempunyai kekuatan yang tersendiri kerana kita hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

“Perbezaan bukan alasan untuk kita berpecah, sebaliknya menjadi kekuatan untuk kita terus bekerjasama dan membangunkan negeri ini bersama-sama,” katanya.

Mengenai program itu, beliau berkata ia menjadi platform memperkukuhkan hubungan silaturahim, perpaduan serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.

Beliau berkata semangat ‘Segulai Sejalai’ amat bertepatan dengan aspirasi Sarawak yang menekankan kebersamaan, saling menghormati dan kerjasama antara masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Katanya, program berbentuk komuniti seperti itu penting kerana ia menyediakan ruang kepada pemimpin dan anggota parti untuk turun padang, mendengar pandangan masyarakat serta memahami keperluan rakyat secara lebih dekat.

“Program seperti ini bukan sekadar aktiviti santai, tetapi menjadi ruang untuk kita bertemu, berkomunikasi dan mengeratkan hubungan dengan masyarakat.

“Inilah kekuatan kita apabila hubungan antara pemimpin dengan rakyat sentiasa dipelihara,” katanya.

Sementara itu, program itu menunjukkan komitmen Pergerakan Wanita dan Badan Induk Parti PBB Cawangan Krian membina jaringan hubungan yang lebih erat bersama penduduk.

Turut hadiri Timbalan Ketua Cawangan Edmund Uda Maleng; Ketua Bendahari, Kaunselor Stephen Arin Lutek; Ketua Pergerakan Wanita, Tr Patricia Augustine serta Ahli Majlis Tertinggi Parti (MT), Leonard Jambu.