Tangani jerebu rentas sempadan, Sarawak sedia bantu Indonesia jika ada permintaan

KUCHING: Sarawak bersedia menawarkan bantuan kepada Indonesia bagi mengatasi masalah jerebu rentas sempadan yang sedang melanda negeri ini.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata bantuan terbabit bagaimanapun akan mengikut kemampuan dan kapasiti Sarawak sekiranya diperlukan negara jiran itu.

“Namun, bantuan tersebut perlu berdasarkan permintaan daripada pihak berkenaan,”katanya ketika ditemui media di sini hari ini

Len berkata, pada masa sama, pihaknya berharap pihak Indonesia dapat memberikan kerjasama bagi membolehkan usaha bantuan ini dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Sementara itu, mengenai jerebu di Sarawak, Len berharap keadaan di negara jiran juga dapat dipulihkan dengan segera, termasuk melalui hujan yang boleh membantu mengurangkan jerebu.

“Sarawak juga sentiasa berhubung dan terlibat dalam perbincangan di peringkat pusat mengenai situasi ini,” tambahnya

Menurutnya, mereka sedang berbincang mengenai bentuk bantuan yang boleh diberikan bagi meredakan keadaan.