KUCHING: Jawatankuasa Sehenti Menangani Isu Dadah dan Substan Sarawak (OSC MIDS) menyokong pendirian tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap jenayah terancang dan kegiatan berkaitan dadah.
Ini termasuk penggunaan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Pengerusi OSC MIDS, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata tindakan tegas perlu diambil terhadap sindiket pengedaran, penyeludupan dan pengilangan dadah yang mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
“Mereka yang menjadikan dadah sebagai sumber keuntungan dan mengeksploitasi kelemahan masyarakat mesti berdepan tindakan penguatkuasaan tegas dan sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan media, di sini, hari ini.
Dalam masa sama, Fatimah menghormati bidang kuasa pihak berkuasa dalam menentukan peruntukan undang-undang berdasarkan fakta, bukti dan keadaan setiap kes.
“Pendekatan kita perlu membezakan dengan jelas antara dalang, pengedar, penyeludup, pengilang dan anggota sindiket dengan individu yang mengalami masalah penggunaan bahan atau ketagihan dan memerlukan rawatan serta sokongan pemulihan,” tambahnya.
Menurutnya, tindakan terhadap sindiket perlu dilaksanakan secara bersepadu melalui kerjasama dan perkongsian maklumat antara agensi penguatkuasaan, kesihatan, organisasi masyarakat sivil serta pihak berkepentingan.
OSC MIDS akan terus menyokong usaha Kerajaan Sarawak dalam pencegahan, pendidikan, rawatan dan pemulihan bagi memastikan Sarawak kekal selamat daripada ancaman sindiket dadah serta melindungi generasi muda.
