KUCHING: Tentera Darat Malaysia (TDM) melaksanakan operasi menghulurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat krisis bekalan air di Bahagian Betong hari ini.
Menurut kenyataan Divisyen Pertama Infantri Malaysia (MK 1 Div) bantuan kemanuşiaan serta logistik itu membabitkan penghantaran bekalan air mineral bermula jam 10.30 pagi sehingga 5 petang.
“Misi bantuan pada hari ini turut digembleng bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak memfokuskan kepada penghantaran dan pengagihan sebanyak 648 kotak air mineral,” menurut MK 1 Div.
Bekalan itu disalurkan kepada penduduk tiga rumah panjang yang berdepan gangguan bekalan air iaitu Rumah Panjang (Rh) Mading, Jambu Kerampak, Ulu Layar (380 kotak), Rh Rengga, Batu Pesok, Spak (138 kotak) serta Rh Madi, Mutok Tabau, Layar (130 kotak).
Bagi melaksanakan misi tersebut, TDM mengatur gerak kekuatan logistik yang terdiri daripada seorang pegawai dan 21 anggota lain-lain pangkat mengunakan sebuah kenderaan trak pikap Hilux berserta sebuah trak muatan tiga tan.
Pengagihan bekalan air mineral seterusnya kepada penduduk di rumah panjang pedalaman lain yang terjejas meliputi Rh Jarit, Temedak, Spak (362 kotak) dan Rh Garamong, Merunjau, Padeh (208 kotak).
