Enam kawasan Sarawak catat IPU sangat tidak sihat

KUCHING: Situasi jerebu di Sarawak semakin membimbangkan apabila enam kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat setakat jam 1 tengah hari tadi, dengan IPD Serian mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 287.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Azuri Azizah Saedon berkata, lima kawasan lain yang turut merekodkan bacaan sangat tidak sihat ialah Kuching (267), Sri Aman (251), Samarahan (242), Samalaju (202) dan Bintulu (201), sekali gus menjadikan Sarawak negeri dengan jumlah kawasan terbanyak pada tahap berkenaan.

“Berdasarkan rekod pemantauan Jabatan Alam Sekitar (JAS), keenam-enam kawasan berkenaan merupakan lokasi di Malaysia yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat pada waktu berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, beberapa kawasan lain di Sarawak turut merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, antaranya ILP Miri (189), Mukah (188), Miri (182), Sarikei (179), Sibu (172), Limbang (160) dan Kapit (151), susulan keadaan cuaca kering yang berterusan di sebahagian rantau Selatan ASEAN.

Dalam pada itu katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS) terus memantau rapi situasi jerebu di seluruh negeri, khususnya bacaan IPU di Serian, dengan pemantauan meliputi status kualiti udara, keadaan cuaca, titik panas dan pergerakan jerebu.

“JAS turut menyediakan laporan trend kualiti udara di Serian setiap jam kepada JPBNS bagi membolehkan perkembangan bacaan IPU dipantau dan dinilai secara berterusan, sekali gus membantu penyelarasan tindakan bersama agensi berkaitan.

“Tindakan JAS dilaksanakan secara bersepadu selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), termasuk pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam,” katanya.

Beliau berkata, PTJK turut menetapkan penghentian aktiviti luar bilik darjah apabila IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska boleh ditutup apabila bacaan melebihi 200.

Operasi Pembenihan Awan (OPA) pula boleh dilaksanakan apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam, tertakluk kepada kewujudan awan dan keadaan cuaca yang sesuai.