LIMBANG: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N79 Bukit Kota mengadakan lawatan sambil belajar ke Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Selangor baru-baru ini.
Rombongan lawatan itu disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail bersama Timbalan Menteri Pengangkutan merangkap Ahli Parlimen P221 Limbang, Datuk Hasbi Habibollah.
Dr Abdul berkata, PPK Kuala Langat mempunyai pelbagai projek pertanian yang berjaya dan turut mengaplikasikan teknologi seperti Internet of Things (IoT) dalam projek tanaman.
“Lawatan sambil belajar ke PPK Kuala Langat yang menjadi PPK contoh dalam agropertanian untuk mempelajari kaedah moden dan terkini dalam penanaman berkualiti tinggi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, rombongan terbabit melawat Ladang Ehsan Tani 2 di Kampung Sungai Kelambu seluas 4.047 hektar iaitu projek baharu PPK terbabit.
Ladang itu memfokuskan kepada pengusahaan tanaman cili berkapasiti sehingga 40,000 polibeg serta melibatkan seramai 10 peserta terdiri daripada penduduk.
“Lawatan diteruskan ke Ros Kerepek yang merupakan perusahaan Industri Asas Tani beroperasi di Kanchong Darat,” tambahnya.
Perusahaan itu menghasilkan pelbagai jenis kerepek dan makanan ringan serta berpengalaman dalam aktiviti pemprosesan, pembungkusan dan pemasaran produk yang ada pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MESTI) dan Halal.
Menurutnya, rombongan juga meninjau Projek Fertigasi Satelit Farm, Pulau Nyatoh Peladang Kuala Langat, yang salah satu projek korporat PPK Kuala Langat dengan kerjasama kerajaan seluas 4.856 hektar
“Kawasan ini yang dimanfaatkan bagi pelaksanaan projek penanaman cili, penternakan lembu, penanaman rumput napier serta tanaman kelapa sawit,” katanya.
