Satu CEO Satu Kampung bantu belia rancang pembangunan komuniti

ASAJAYA: Konsep ‘Satu CEO Satu Kampung’ membantu memperkukuhkan peranan generasi muda dalam merancang dan melaksanakan inisiatif pembangunan komuniti.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, pendekatan itu boleh menggalakkan golongan muda mengambil tanggungjawab terhadap kemajuan kampung.

“Anak muda mempunyai bakat dan kemahiran untuk menyumbang kepada masyarakat. Kita mahu mereka tampil sebagai pemimpin dan membawa idea baharu untuk membangunkan kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan P197 Esports Reborn PUBG Mobile 2026 di Dewan Masyarakat Kampung Asajaya Ulu, di sini hari ini.

Menurut Rubiah, kekuatan sesebuah kawasan, negeri dan negara bergantung kepada keupayaan generasi muda memainkan peranan masing-masing serta meningkatkan sumbangan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai golongan belia di Kota Samarahan, khususnya Asajaya mengemukakan idea untuk pembangunan.

Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Asajaya, Hasanah Bujang, Penghulu Kampung Asajaya, Dahlan Man, Ketua Kaum Kampung Asajaya Ulu, Azri Dris dan Pengerusi Penganjur Pertandingan P197 Esports Reborn PUBG Mobile 2026, Mohd Hakim Sahib.