41 sekolah Tanjong Manis terima TV pintar

SARIKEI: Keperluan memperluaskan penggunaan teknologi digital dalam pendidikan penting bagi memastikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) kekal relevan dengan perkembangan semasa.

Sehubungan itu, sebanyak 41 sekolah di kawasan Parlimen Tanjong Manis bakal menerima sumbangan TV Pintar daripada Pusat Khidmat P.206 Tanjong Manis bagi menyokong pelaksanaan PdP berasaskan teknologi.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab, berkata setiap sekolah akan menerima satu atau dua unit kemudahan berkenaan, bergantung kepada jumlah murid berdaftar.

“Sebanyak 25 sekolah akan menerima TV Pintar menerusi agihan fasa satu manakala 16 sekolah lagi dijadual mendapat kemudahan sama dalam fasa kedua sebelum akhir tahun ini.

“Penggunaan teknologi dalam bilik darjah mampu membantu guru menyampaikan kandungan pembelajaran dengan lebih interaktif menerusi bahan seperti video, grafik, persembahan multimedia dan aplikasi pendidikan,” katanya selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan itu, hari ini.

Beliau berkata, kemudahan berkenaan bukan sahaja dapat mempelbagaikan pendekatan pengajaran, malah membantu murid memahami sesuatu topik dengan lebih mudah serta mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menarik.