SPAOH: Taman Agro Bebuling bakal menjadi model pertanian apabila penggunaan teknologi dan inovasi membuktikan hasil tanaman berkualiti tinggi mampu diusahakan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata galeri yang dibangunkan di taman agro itu membuktikan pertanian berasaskan teknologi bukan sekadar konsep.
Sebaliknya, ia boleh dilaksanakan secara praktikal untuk meningkatkan produktiviti.
Menurutnya, sayur-sayuran yang dihasilkan di galeri berkenaan hanya mengambil masa kira-kira 25 hari sebelum dituai.
“Dengan keluasan 4,800 kaki persegi, pengeluaran boleh mencecah sehingga setengah tan dalam tempoh yang sama,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja singkat ke Galeri Taman Agro Bebuling di sini, hari ini.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, taman agro berkenaan mempunyai keluasan keseluruhan kira-kira 700 hektar, dengan 60 hektar diperuntukkan kepada Lotus Farm Agritech Sdn Bhd bagi pembangunan termasuk sistem hidroponik.
Menurut Uggah, pemilik tanah sedia ada turut berpeluang menyertai kegiatan pertanian di taman agro dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta memastikan hasil yang dikeluarkan memenuhi piawaian kualiti ditetapkan.
