KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak bersetuju untuk memperkenalkan satu formula baharu yang lebih jelas dan bersifat menang-menang, dengan mengambil kira kepentingan Sarawak serta kedudukan kewangan negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyambut baik persetujuan tersebut dan menyifatkan pendekatan berkenaan sebagai langkah praktikal dalam mencari penyelesaian.
Langkah itu memberi manfaat kepada Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
“Saya mengucap terima kasih atas persetujuan untuk menentukan formula ‘that will be win-win’ di antara kita dengan Persekutuan.
“Kalau negara kita baik, sudah tentu Persekutuannya baik. Kalau tidak baik, kita pun menerima hakikat supaya kestabilan kewangan negara ini akan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.
Premier Sarawak turut menyokong pendekatan Perdana Menteri bahawa perkara berkaitan MA63 perlu dilihat sebagai perkara nasional dengan mengambil kira apa yang termaktub dalam Perlembagaan serta keutuhan Malaysia.
“Satu perkara yang saya ingin timbulkan di sini adalah saya menyokong pendekatan Perdana Menteri bahawa perkara MA63 ini adalah perkara nasional.
“Kita ingin menyelaraskan apa yang termaktub dalam Perlembagaan dan juga keutuhan negara Malaysia yang akan meneruskan usaha kita untuk membangunkan negara pada keseluruhannya. Jadi saya rasa ini pendekatan yang agak praktikal,” katanya.
Sementara itu kata Perdana Menteri berkata, Sarawak telah mengemukakan pandangan mengenai keperluan memperkenalkan formula yang lebih jelas dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara, keupayaan semasa serta kadar minimum dan maksimum yang boleh dipertimbangkan.
“Formula itu mengambil kira kedudukan kewangan negara, keupayaan, apa yang minimum yang boleh dipertimbangkan dan juga maksimum.
“Saya setuju dan dah minta Kementerian Kewangan dan Kementerian Kewangan Sarawak untuk bincangkan tentang memperkenalkan formula,” katanya.
Tegas beliau, pendekatan itu penting supaya sebarang peruntukan atau pertimbangan kepada Sabah dan Sarawak tidak disalah anggap sebagai layanan khas, sebaliknya difahami sebagai sebahagian daripada dasar dan komitmen nasional terhadap pembentukan serta pembangunan Malaysia. -UKAS
